Ahad, 10 September 2017

Pokok Bunga Bakawali

Salam bertani.

Baru-baru ini sepokok pokok bunga bakawali di tempat WP telah mengeluarkan bunga yang lebat dan menarik. Pokok bunga bakawali juga dikenali sebagai pokok Epiphyllum atau  ada juga yang memanggilnya sebagai pokok kaktus orkid. Ia  adalah sejenis pokok kaktus yang hidup berumpun  mengeluarkan batangnya yang berbentuk leper seperti daun walau pun sebenarnya ia tidak berdaun.

Pokok bakawali boleh dibiakkan dengan keratan batang leper seperti daun tersebut atau pun dengan cara pembahagian rumpun. Keratan batangnya akan mengeluarkan tunas seperti daun dan membentuk anak pokok (seperti membiakkan pokok sansevieria). Sebelum disemai, keratan batangnya  perlu dikeringkan beberapa hari untuk mengelakkan serangan kulat.

Kita jarang-jarang dapat melihat bunga pokok bakawali ini berkembang mekar kerana jangka hayat mekar bunga ini hanyalah sehari sahaja. Uniknya bunga bakawali akan mekar penuh pada waktu malam dengan mengeluarkan bau yang harum semerbak (malam bulan mengambang). Bunga ini akan layu pada waktu siangnya. Ada beberapa kepercayaan orang dulu-dulu berkaitan bunga bakawali ini tetapi masyarakat sekarang mungkin sudah tidak mempercayainya lagi.

Pokok dan bunga bakawali dikatakan ada nilai herba juga dan digunakan oleh orang-orang dahulu intuk mengatasi msalah rabun mata dan perawatan untuk mencantikkan kulit. Ada juga yang menggunakannya untuk merawat luka, bisul, bengkak dan beberapa penyakit lain.

Ramai yang keliru di antara pokok bunga bakawali dan pokok herba bratawali (brotowali) kerana namanya yang hampir sama. Pokok bratawali adalah pokok herba melilit/memanjat. Batangnya yang menggerutu digunakan sebagai perawatan pelbagai jenis penyakit dan rasanya sangatlah pahit.



Sekuntum bunga bakawali yang sedang kembang mekar.


Inilah rupa pokok bakawali/epiphyllum.
Batangnya berbentuk leper seperti daun.


Kudup bunga bakawali.
Mengeluarkan bunga seperti pokok naga (dragon fruit)


Kudup bunga yang belum mekar.
Memerlukan beberapa hari untuk mekar.


Mengeluarkan hampir 15 kudup bunga


Bunganya akan mekar bermula waktu malam .
( 9.00 malam) 

Kembang mekar pada waktu tengah malam bulan mengambang.
Mengeluarkan bauan yang harum semerbak


Akan beransur layu pada waktu awal pagi


Selepas subuh


Sekuntum lagi
 

Selepas terbit mentari


Pokok bakawali dengan bunga-bunganya yang layu
menjelang pagi/siang hari.


Salam bertani.

4 ulasan:

  1. pokok ni mudah ke cara tanaman dia ek? ada jual ke benih ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sangat mudah ditanam, hanya gunakan keratan batang (yang leper seperti daun tu)

      Padam
  2. Pokok ni yang sama ke orang buat ubat ek? Akar yg pahit tu yea?

    BalasPadam
  3. Herba ubatan yang sangat pahit tu dipanggil pokok brotowali.
    Sangat jauh berbeza.

    BalasPadam