Khamis, 1 Jun 2017

Pokok Cermai

Salam bertani

Ada sepohon cermai yang sudah berbuah di kebun WP dan beberapa anak pokok yang baru ditanam.  Pokok cermai kurang berdahan seakan-akan pokok belimbing buluh. Anak pokok cermai  tumbuh sendiri melalui biji benih di bawah pokok induk dan diubah ke tempat lain yang sesuai. Pokok cermai mula berbuah lebat apabila berumur empat tahun dan ia tergolong dalam jenis  buah-buahan tidak bermusim.

Buah cermai biasanya dimakan mentah bersama dengan garam dan rasanya sangatlah masam. Buah cermai sesuai dibuat jeruk buah campuran  atau halwa untuk mengelakkan rasa masamnya. Ia juga boleh dijadikan jus minuman.  Buah mudanya  boleh dijadikan ramuan sambal belacan. Pucuk daun cermai boleh dibuat ulam tetapi rasanya agak kemasaman dan kelat.


Buah cermai yang sudah boleh dituai.
Warnanya agak kekuningan.


Anak benih pokok cermai di kebun WP.
Daunnya seakan-akan daun pokok belimbing buluh.


Bunga dan putik buah cermai.


Buah cermai muda berwarna hijau.
Rasanya masam dan masih kelat.


Buahnya berjurai dalam satu tangkai.


Berbuah di dahan dan batang pokok
 seperti buah belimbing buluh juga.


Buahnya jarang diganggu oleh musuh-musuh tanaman


Buah cermai yang hampir matang


Warna buah bertukar dari hijau ke kekuningan apabila matang.
Buah matang yang tidak dituai akan gugur sendiri.

 Buah cermai dikatakan mengandungi antioksidan yang boleh mencegah diabetis dan kadar kolesterol dalam darah. Ia juga mengandungi bahan antikanser, bahan serat dan kaya dengan vitamin C. Biji buah cermai digunakan untuk mengatasi sembelit dan penyakit asma. Manakala daun pokok cermai digunakan untuk mengubati penyakit kulit, darah tinggi, melangsingkan tubuh, melawaskan pembuangan air besar dan mengurangkan batuk.

Pokok cermai tidaklah begitu besar dan sesuai ditanam berdekatan rumah
Taamlah pokok cermai sebagai tanaman hiasan dan untuk mendapatkan manfaat herbanya.

Salam bertani.
Catat Ulasan