Rabu, 9 November 2016

Palma Hutan Yang Unik

Salam bertani.

Kalau berkebun, kita akan biasa menemui pokok palma liar ini hidup di antara tanaman kita.
Di kebun kelapa sawit WP, terdapat banyak pokok palma hutan ini walau pun dikawal pertumbuhannya. Ini kerana ia mudah membiak dengan hidup berumpun dan akan mengeluarkan anak pokok baru apabila induknya ditebang. Ia juga boleh menghasilkan beribu-ribu biji benih yang boleh menjadi anak benih.

Palma ini dipanggil pokok tukas (mungkin ditempat lain berbeza sebutannya). Atau ada yang memanggilnya 'Fish Tail Palm' kerana daunnya yang berbentuk seperti ekor ikan. Apabila pokoknya matang, ia akan berbunga dan menghasilkan buah yang banyak dan cantik. Walau bagaimana pun, buahnya tidak boleh dimakan kerana mengandungi getah yang beracun dan boleh melepuhkan kulit.

Apa uniknya pokok tukas (fish tail palm)?


Ini gambar pokok tukas yang matang dan telah mengeluarkan bunga dan buah.
Ada 4 tandan bunga/buah yang dihasilkan di celah pelepahnya.


Ini tandan pertama terbit di bahagian paling atas pelepah pokok.Buahnya berwarna 
hijau semasa muda dan bertukar menjadi unggu apabila matang.
Apabila pokok tukas mengeluarkan tandan pertama, ia tidak akan mengeluarkan
pucuk baru lagi dan pembesaran pokok akan berhenti.


Ini tandan ke-dua yang dikeluarkan dari pelepah  di bawah tandan pertama.
Tandan sudah menghasilkan beribu-ribu buah.


Ini tandan ke-tiga yang terbit dari pelepah di bahagian bawah tandan ke-dua.
Bunga yang baru membentuk putik muda.


Tandan ke-empat terletak di bahagian yang paling bawah dan baru
menghasiklan bunga.


Tandan ke-lima akan terbit di bahagian paling bawah
(pangkal pokok). Apabila tandan yang terakhir ini matang, pokok tukas akan mati
dan akan digantikan dengan pokok baru dalam perdu yang sama.



Satu contoh pokok tukas lain yang telah mengeluarkan bunga dan buah.


Perhatikan keunikkannya, mengeluarkan tandan bermula dari atas (pucuk pokok)
berperingkat-peringkat tetapi mengundur ke bawah.

Itulah keunikan pokok palma hutan ini. Pokok palma ini ada juga yang ditanam sebagai tanaman hiasan di tepi-tepi jalan atau di taman bunga, tetapi awas buahnya tidak sesuai dipegang apatah lagi dimakan. Cuma kita kagum dengan keunikan dan keindahannya.

Salam bertani.

Catat Ulasan