Jumaat, 15 Januari 2016

Pokok Belinjau.

Salam bertani.

Pokok belinjau atau melinjau merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebun "Warisan Petani". Pokok belinjau ditanam untuk mendapatkan pucuk daun mudanya yang boleh dijadikan sayuran. Ia merupakan sayuran kampung yang bebas dari bahan kimia kerana hidup secara semulajadi. Pucuknya enak dimasak lemak atau masak air dicampur dengan tempe.

   Buah belinjau juga boleh dimakan. Buah yang muda boleh dijadikan sayuran dimasak bersama pucuknya atau dimasak kari bersama daging. Buah yang muda berwarna hijau dan akan bertukar menjadi merah apabila matang. Buah yang matang boleh dijadikan kerepek atau emping. Ia juga enak dimakan dengan merebusnya sahaja seperti merebus buah kacang tanah. Buah belinjau mempunyai satu lapisan kulit yang keras, jadi perlu direbus agak lama dengan api yang kecil sahaja. Isinya agak keras serta kenyal dan tidak boleh empuk. Rasanya sangat enak, lemak dan sedikit pahit.

   Penanaman pokok belinjau adalah dengan menggunakan anak benih yang boleh disemai melalui buah yang matang. Peratus percambahannya sangat rendah dan pertumbuhan anak benih sangat lambat. Anak benih juga boleh tumbuh dari akarnya yang menjalar di permukaan tanah.

 Terdapat pokok belinjau jantan dan pokok belinjau betina. Kedua-duanya akan mengeluarkan putik apabila matang tetapi hanya putik pokok belinjau betina sahaja yang menjadi buah manakala putik pokok belinjau jantan akan gugur semuanya.


Anak benih pokok belinjau


Pertumbuhan melalui buah matang.


Pokok belinjau yang sering dituai pucuknya


Pokoknya rimbun.


Deretan pokok belinjau yang ditanam di kebun "Warisan Petani".



Pokok belinjau betina


Pohon yang rendang memudahkan untuk menuai hasil.


Dua pokok belinjau.
Yang hadapan telah dipangkas.


Pemangkasan pokok belinjau.


Cepat menghasilkan pucuk baru selepas dipangkas.


Pucuk yang sesuai di tuai.



Dua peringkat pucuk muda.


Putik buah belinjau.


Pokok belinjau tidak berbunga tetapi mengeluarkan putik kecil.



Putik pokok betina akan menjadi buah manakala
putik pokok jantan akan gugur semuanya.


Buah belinjau muda.


Buah muda boleh dijadikan sayuran.


Buah yang hampir matang. Sudah boleh dituai kerana 
kulit cengkerangnya lebih lembut.


Buahnya tidak bermusim dan terdapat pelbagai peringkat.


Buah belinjau yang cukup matang sebesar jari kelingking.
 Akan gugur jika tidak dituai.
Sebiji buah yang disemai akan menghasilkan satu anak benih.


Kulit luar yang berwarna merah agak lembut.


Keratan sebiji buah belinjau.


Isi buah belinjau yang dikeluarkan dari cengkerangnya (kulit keras).
Isinya diselapiti satu lagi lapisan kulit nipis.


Isi buah belinjau berwarna putih boleh diproses menjadi emping atau kerepek.


Seikat pucuk belinjau yang dijual di pasar tani.
RM1.00 seikat.


Emping belinjau mentah.


Emping belinjau goreng.


Pokok belinjau adalah pokok berkayu yang mempunyai batang utama dan banyak dahan-dahan kecil.  Sekiranya tidak dipangkas ia boleh menjadi pokok yang besar dan tinggi. Pokok belinjau tidak sesuai dipanjat kerana mempunyai dahan-dahan yang rapuh dan mudah sekah.

Salam bertani.
Catat Ulasan