Ahad, 1 November 2015

Tanaman Getah.

Salam bertani.

Suatu masa dulu, getah merupakan tanaman utama di negara kita."Warisan Petani" tidak terkecuali daripada mengusahakan tanaman getah sejak dahulu lagi. Malah itulah hasil utama sebagai sumber pendapatan walaupun harga getah sering berubah-ubah.

Pada masa ini, masih terdapat tanaman getah di kebun "Warisan Petani" walaupun kebanyakkannya tidak lagi mengeluarkan hasil kerana tidak ditoreh. Ini kerana harga getah yang sangat rendah sekarang dan tidak ekonomik untuk diusahakan.



Gambar 1 : Pokok getah tua yang telah berumur lebih tiga puluh tahun. Tidak lagi ditoreh walaupun masih boleh mengeluarkan hasil.


Gambar 2 : Pokok getah dewasa yang berumur dua puluh tahun. Juga tidak ditoreh. Keadaan kebun getah yang dipenuhi oleh semak samun kerana tidak dijaga. Kebanyakan semak samun terdiri daripada anak pokok getah yang tumbuh daripada biji benih getah dewasa.



Gambar 3: Pokok getah muda yang berumur lapan tahun. Kebun getah ini  dijaga dan di toreh untuk mendapatkan hasil. Penorehan dilakukan berselang sehari pada waktu pagi . Susu getah akan dibiarkan di dalam mangkuk getah sehingga beku.


Gambar 4 : Sepohon getah yang baru ditoreh .Susu getah dikumpulkan di dalam mangkuk sehingga beku. Sekiranya terkena hujan selepas ditoreh, susu getah akan bercampur dengan air hujan dan mengalir keluar dari mangkuk getah. Dalam mangkuk getah hanya tinggal air hujan sahaja kerana susu getah lebih ringan (kurang tumpat) daripada air hujan.


Gambar 5 : Hasil torehan selama seminggu bagi sepokok getah. Selepas seminggu barulah getah buku dikumpulkan dan dijual. Hasil sepokok lebih kurang sekilogram seminggu. Itupun sekiranya tidak kena hujan. Harga getah buku pada masa ini ialah RM2.00 sekilogram.


Gambar 6 : Getah buku dari sepohon getah yang ditoreh. Harga getah buku pernah mencapai RM7.50 sekilogram suatu masa dahulu sebelum merudum sekarang. Sebenarnya harga getah adalah selari dengan harga petroleum di pasaran dunia. Sekiranya harga petroleum tinggi harga getah juga tinggi dan begitulah juga sebaliknya.


Gambar 7 : Pisau penoreh getah. Terdapat dua jenis pisau penoreh getah iaitu pisau tarik dan pisau sodok. Pisau tarik bentuknya melengkung digunakan secara menarik torehan dari atas ke bawah. Sementara pisau sodok agak lurus bentuknya digunakan secara menyodok torehan dari bawah ke atas.



Gambar 8 :  Anak pokok getah yang berumur lima tahun. Ditanam secara berpagar dua baris di sekeliling kebun buah-buahan. Dalam masa beberapa tahun lagi pokok getah ini boleh ditoreh. Pokok getah ini cepat membesar kerana dari baka getah balak.


Gambar 9 : Anak getah berumur 5 tahun dari baka getah balak. Apabila berumur sepuluh hingga lima belas tahun, pokok getah ini boleh ditebang utuk mendapatkan balak getah sekiranya tidak ditoreh.



Gambar 10 : Anak pokok getah yang mati kerana serangan penyakit.


Gambar 11 : Pokok getah yang mati dan tumbang kerana serangan kulat. Kulat menyerang akar pokok getah sehingga reput dan mati. Penyakit kulat ini sangat cepat merebak melalui akar pokok getah dan sekiranya tidak dikawal boleh menyebabkan kematian pokok getah yang banyak.

Menoreh getah merupakan pekerjaan utama di kebun  "Warisan Petani" sebagai sumber pendapatan. Jasa pokok getah amat bermakna kepada pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negara. Diharapkan suatu masa nanti, harga getah buku akan meningkat  dan kebun-kebun getah yang sekarang sepi akan meriah semula dengan kegiatan menoreh getah.

Salam bertani.
Catat Ulasan