Ahad, 14 Mei 2017

Sulur Keladi 2

Salam bertani

Sulur keladi merupakan salah satu jenis sayuran tradisional Melayu yang semakin dilupakan terutama oleh gen Y sekarang. Bagi orang-orang yang pernah memasak dan memakan sayuran sulur keladi, tentulah tidak boleh melupakannya terutama kerana kesedapannya atau kerana terkena gatalnya.

    Sulur keladi bukanlah akar pokok keladi. Ia merupakan 'stolon' pokok keladi yang dihasilkan untuk pertumbuhan anak pokok keladi. Setiap satu sulur keladi akan menghasilkan satu pokok anak keladi.
Sulur keladi pada tanaman pokok keladi memang perlu dituai/dibuang untuk mengelakkan tanaman keladi menjadi terlalu rapat. Anak-anak keladi yang dibiarkan hidup akan bersaing dengan keladi induk menyebabkan hasilnya kurang berkualiti.

    Sulur keladi enak dimasak asam tumis/rebus, masak lemak bersama ikan kering atau siput sedut, masak tumis/goreng, masak sambal tumis atau pun boleh juga disinggang. Batang keladi dicampur dengan umbisinya juga boleh dimasak dengan cara yang sama. tetapi bukan semua pokok keladi boleh disayur batangnya kerana sebahagiannya akan berasa gatal di tekak apabila dimakan.

    Beberapa amalan untuk mengelakkan terkena kegatalan sulur keladi, terutamanya semasa menyiang sulur keladi hendaklah dalam keadaan kering sehingga siap baharulah dibasuh dan ditoskan. Sulur keladi perlu dibuang kulit arinya dan direbus separuh masak terlebih dahulu dan dibuang airnya sebelum dijadikan masakan. Semasa merebus sulur keladi bolehlah letakkan sedikit asam keping/gelugur atau terung asam untuk membuang kegatalannya.

  Sulur keladi tempatan biasanya berwarna merah atau putih dan saiznya sebesar jari kelingking. Pokok keladi cina, keladi mawar, keladi putih dan keladi merah biasanya mengeluarkan sulur. Oleh kerana bekalan sulur keladi tempatan sekarang agak terhad, sudah ada bekalan sulur keladi import daripada Bangladesh yang lebih besar saiznya dan berwarna hijau. Sulur keladi Bangladesh dikatakan tidak gatal.


Sulur keladi tempatan yang dijual di paskam.


Sejenis pokok keladi putih yang mengeluarkan sulur.
Sulur keladi akan menjalar di atas tanah dan akan membentuk
anak pokok keladi di hujungnya 



Pokok keladi putih yang dituai bersama sulurnya.
Keseluruhan bahagian pokok keladi putih boleh dijadikan
sayuran kecuali daunnya. Pucuknya boleh disayur.


Sulur keladi kelur daripada umbisi keladi di dalam tanah.
Lihat perbezaan antara sulur dan akar pokok keladi.


Selain sulur keladi, batang dan umbisi keladi putih juga boleh
dijadikan sayuran.


Batang dan umbisi keladi siap disiang.
Sebungkus seringgit.




Pokok keladi merah juga mengeluarkan sulur.
Sulurnya lebih besar dan enak berbanding keladi lain.


Pokok keladi merah dan keladi putih yang hidup di tepi pagar rumah.
Kedua-duanya mengeluarkan sulur (sulurnya sudah dituai).
Batang dan umbisinya juga boleh dijadikan sayuran.


Sulur keladi import daripada Bangladesh.
Bersaiz lebih besar dan berwarna hijau.


Sulur keladi tuaian daripada hasil tangan WP.
Untuk masakan tengah hari ini WP memilih sulur keladi tempatan
berbanding yang diimport.


Salam bertani.
Catat Ulasan