Pernah melihat buah pokok getah? Bagi anak pekebun getah tentu telah biasa melihat buah getah dan pastinya ada kenangan yang tidak dapat dilupakan mengenai buah pokok getah ini.
WP membesar di kebun getah. Dari kecil hingga ke tua sekarang masih terlibat dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan kebun getah. Ada beberapa kenangan yang tidak dapat dilupakan berkaitan buah getah ini.
Semasa bersekolah darjah satu pada tahun 60an dulu ,WP membawa 10 biji getah setiap hari ke sekolah. Biji getah ini digunakan untuk belajar mengira dari 1 sampailah 10.
Semasa di sekolah rendah, dengan biji getah inilah WP mendapat wang saku. Bila tiba musim biji getah luruh, kami akan bekerja mencari dan mengutip biji getah untuk dijual hingga berguni-guni banyaknya. Pada masa itu harganya, sekati (600gm sekarang) hanyalah 10 sen. Biji getah ni ringan, kalau sebaldi baru dapat sekati.
Masyarakat kami juga menggunakan isi biji getah untuk dibuat makanan tempe. Sama seperti makanan tempe sekarang yang dibuat daripada kacang soya, tetapi dahulu kami menggunakan isi biji getah.
Bila bulan puasa, emak WP akan suruh kutip cengkerang biji getah (kami panggil cangkang getah) gunanya untuk membakar kuih bahulu dan kuih bangkit. Cangkang getah ni mudah jadi bara dan digunakan sebagai bahan api di bahagian atas cetak kuih bahulu dan kuih bangkit.
Bahagian bucu cangkang getah ada cangkuk yang tajam dan biasa melukakan tapak kaki kami apabila terpijak. Anak-anak zaman dahulu mana ada pakai kasut kalau pergi ke kebun.
Satu lagi, cangkang getah ni kami boleh jadikan mainan sebagai kipas yang perlu dihembus dengan kuat supaya berpusing. Siapa kipas yang paling lama berpusing akan menang.
Selepas musim luruh, pokok getah akan mengeluarkan pucuk
dan bunga serentak.
Bunga getah sedang berkembang.
Sepohon getah sedang berbunga dan berdaun muda.
Buah getah muda.
Buah getah yang hampir matang.
Sebiji buah getah mengandungi 3 bahagian
yang akan menghasilkan 3 biji benih.
Inilah yang dipanggil cangkang getah.
Satu biji buah getah akan menghasilkan 3 pasang
cangkang getah dan 3 biji benih getah.
Satu bahagian cengkerang buah getah yang telah matang.
Ia akan pecah sendiri (meletup kerana mengeluarkan bunyi)
dan gugur ke tanah.
Bagagian hujungnya ada cangkuk yang tajam.
Selonggok cangkang getah dan biji getah yang telah gugur.
Biji getah yang baru gugur. Mempunyai corak
yang unik tetapi lama-kelamaan akan pudar.
Sebiji getah yang akan menghasilkan sepokok anak getah.
Ia akan tumbuh sendiri walau pun tidak disemai.
Inilah kipas cangkang getah. Bahagian bucunya yang tajam perlu
diletakkan di hujung dua jari dan dihembus dengan kuat supaya berpusing
dengan lajunya.
Itulah kenangan WP, anak pekebun getah.
Salam bertani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan