Isnin, 28 Mac 2016

Pokok Gelenggang.

Salam bertani,

Terdapat satu rumpun pokok gelenggang yang dibiarkan hidup di kebun kelapa sawit "Warisan Petani" berhampiran dengan sungai tempat menternak lembu. Pokok ini asalnya adalah pokok liar yang banyak hidup di kawasan lembah di tebing-tebing sungai, tetapi sekarang sudah agak pupus kerana keseluruhan kawasan tersebut sudah menjadi kebun kelapa sawit. Apatah lagi masyarakat sekarang tidak mengenali pokok ini dan pelbagai khasiat daripadanya.

      Pokok gelenggang mudah membiak dan merebak menjadi satu kawasan yang luas kerana batangnya yang terletak di atas tanah boleh mengeluarkan akar dan menjadi pokok baru. Ia juga mengeluarkan buah berbentuk kekacang yang boleh menghasilkan biji benih.

     Kenangan semasa kecil dahulu, daun geleggang yang kami panggil daun ketepeng ini sering digunakan untuk mengubati penyakit panau dan kurap dengan cara menumbuknya sehingga lumat dan menepeknya ke kulit yang ada penyakit tersebut. Kami anak-anak kampung yang biasa mandi dan berkubang di sungai setiap hari memang selalu kena panau dan kurap. Daun ketepeng ini memang mujarab . Kulit yang ditepekkan dengan daun ini akan mengelupas dan panau atau kurap yang ada akan hilang.

    Daun gelenggang ini juga kami gunakan untuk mengubati penyakit gatal-gatal kerkena ulat bulu atau sengatan serangga dan sengatan ikan keli. Ia dapat meredakan rasa  bisa dengan cepat. Arwah bapa dulu menggunakan daun gelenggang yang dilumatkan untuk mengubati penyakit kulit dan luka-luka kecil pada ternakan lembu,



Sepohon anak pokok gelenggang.


Daun pokok gelenggang yang mempunyai nilai perubatan.



Sekelompok pokok gelenggang yang dibiarkan hidup di kebun kelapa sawit.


Pekebun sekarang menganggapnya sebagai pokok pesaing tanaman
yang perlu dihapuskan.


Hidup subur di kawasan lembah.


Digemari oleh ulat pemakan daun.


Bunga pokok gelenggang


Bunga ini akan menghasilkan buah


Buah pokok gelenggang yang matang.
Buah yang muda berwarna hijau.


Buah yang matang akan pecah dan menyebarkan biji benih.

Sekarang telah ada produk kesihatan yang berasaskan daun gelenggang. Produk-produk ini adalah untuk kegunaan luar seperti krim untuk mengubati pelbagai penyakit kulit, sabun mandian daun gelenggang dan losyen kulit daun gelenggang. Walau bagaimana pun, "Warisan Petani" masih menghargai kegunaan dan khasiat daun gelenggang segar yang boleh didapati bila-bila masa apabila diperlukan.

Salam bertani.

4 ulasan: