Ahad, 31 Julai 2016

Menoreh Pokok Getah.

Salam Bertani.

Lebih sebulan WP bercuti daripada menoreh pokok getah sempena sambutan Syawal yang lalu. Hari ini sudah masuk seminggu WP memulakan tugasan harian menoreh getah selepas bercuti panjang. Kerja-kerja menoreh pokok getah dilakukan pada awal pagi lebih kurang dua hingga tiga jam. Susu getah dibiarkan dalam mangkuk getah sehingga beku menjadi getah buku/ojol. Getah buku akan dikumpulkan seminggu sekali untuk dipasarkan. Harga getah buku masih bertahan sehingga sekarang sebanyak RM2.00 sekilogram.



Keadaan kebun getah.
Pokok getah berumur lapan tahun dan telah ditoreh selama dua tahun.


Hasil torehan sebelumnya.
Susu getah sudah beku.


Pokok getah sedang ditoreh.
Penorehan dilakukan berhati-hati supaya tidak merosakkan kulit pokok getah.


Alat yang digunakan untuk menoreh pokok getah.
Pisau toreh tarik.


Pokok getah selepas ditoreh.
Susu getah akan menitik ke dalam mangkuk getah.


Susu getah yang dihasilkan  selepas beberapa jam ditoreh.


Susu getah yang dihasilkan selepas ditoreh.


Hasil torehan sepohon getah.


Kebun getah selepas ditoreh.

Kerja-kerja menoreh getah biasanya dimulakan pada pukul 7.30 pagi dan akan selesai sebelum pukul 10.00 pagi. Susu getah akan dibiarkan di dalam mangkuk getah sehingga beku pada keesokkan harinya. Hasil getah akan dijual dalam bentuk getah buku.

Sempena sambutan hari raya pada tahun ini, para penoreh getah juga mendapat bonus daripada kerajaan seperti PA sebanyak RM500.00 dan telah dibayar pada bulan Julai ini. Bonus tersebut terus dikreditkan ke dalam akaun bank dan masih belum digunakan.

Salam bertani.




Sabtu, 30 Julai 2016

Itik Telur.

Salam bertani,

WP ada memelihara sepuluh ekor itik telur untuk suka-suka sahaja. Lapan ekor betina dan dua ekor jantan. Beberapa ekor itik telur jantan yang lain sudah disembelih semasa bulan Ramadhan yang lepas. Kesemua lapan ekor itik telur betina sudah pun bertelur.

Itik telur biasanya akan bertelur pada waktu malam dan telurnya akan dikutip pada waktu pagi. Itik telur tidak membuat sarang untuk bertelur. Telurnya juga bersepah tidak setempat dan itik telur tidak mengeram. Berbeza dengan itik nila/serati (muscovy) yang membuat sarang untuk bertelur dan mengeramkan telurnya seperti ayam kampung.

Itik telur diberi makanan dedak penelur dan jagung hancur. Ia juga perlu disediakan bekas air kerana itik telur gemarkan air. Air perlu diganti setiap hari. Telur itik biasanya akan direndam dengan air garam untuk dijadikan telur masin . Telur itik juga enak dimasak lemak.


Itik telur di dalam reban.
Yang cerah di hadapan adalah itik jantan.


Sebahagian itik telur betina.


Itik telur yang diternak.
Seekor lagi itik jantan yang bulu berkilat kebiruan.


Itik telur dewasa.


Kesemua lapan ekor itik telur betina sudah bertelur.


Kutipan telur itik dua hari.
Ada telur itik yang berwarna putih cerah
dan berwarna putih kehijauan.


Telur ituk biasanya direndam di dalam air garam
selama satu hingga dua minggu untuk dijadikan telur masin.

Wp hanya memelihara beberapa ekor itik telur untuk suka-suka sahaja dan bukanlah untuk tujuan komersial. Walau bagaimana pun, hasil telur itik tersebut tidak habis dimakan. Itik-itik telur tersebut menghasilkan tiga hingga lima biji telur sehari.

Konsep WP, setiap usaha yang kita lakukan dengan penuh minat walau pun secara kecil-kecilan, pasti mendatangkan hasil.
Salam bertani.


Jumaat, 29 Julai 2016

Durian Tembaga.

Salam bertani.

Ada beberapa pokok durian tembaga kampung yang terdapat di dusun WP. Durian tembaga kampung ini ditanam melalui biji benih lebih tiga puluh tahun yang lalu. Kesemua pokok durian tembaga ini sudah berbuah tetapi musim buah durian pada kali ini tidak serentak. Ada buah durian yang sedang luruh sekarang, ada yang masih berbuah muda dan ada yang baru mengeluarkan bunga. Ini bermakna musim buah durian kali ini akan berlarutan sehingga bulan Disember nanti.

     Salah satu pohon durian tembaga kampung di dusun WP sedang musim meluruhkan buah sekarang. Buah durian tembaga berbeza dari buah durian kampung biasa kerana warna isi buahnya kuning, sebab itu dipanggil durian tembaga. Tekstur isinya halus, rasa manis dan ada rasa pahit yang kuat. Durian tembaga kampung menjadi pilihan utama rakan-rakan yang dijamu.



Perdu sepohon durian tembaga yang sudah sebesar pemeluk.


Buah durian tembaga yang gugur pada pagi ini.


Sebiji buah durian tembaga.
Tangkai panjang, beduri besar dan berbentuk lonjong.
Kira-kira 2 kg sebiji.


Isi durian tembaga berwarna kekuningan.


Seulas sahaja sepangsa.


Dua ulas sepangsa.


Maksima tiga ulas sahaja.


Tekstur isinya halus, lemak dan ada rasa pahit.

 Walau pun sekarang telah ujud varieti durian klon yang hebat seperti raja kunyit (musang king), duri hitam (ochee) dll, namun durian tembaga kampung masih ada penggemarnya.

Salam bertani.

Khamis, 28 Julai 2016

Belimbing Buluh : Hijau vs Kuning.

Salam bertani.

Buah belimbing buluh kuning.







Buah belimbing buluh hijau.






Salam bertani.

Selasa, 26 Julai 2016

Bawa Bekal 1

Salam bertani.

Pada pagi ini cuaca redup dan mendung sebelum agak panas sekarang. Seperti biasa WP membawa sedikit bekalan makanan sebagai alas perut semasa melakukan kerja-kerja di kebun.


Menu bekalan makanan pada hari ini,
Nasi dari beras Taj Mahal Faeza,
Seekor ikan puyu goreng berempah,
Sepotong daging ayam kampung goreng.
Sayur campur goreng,
Sebotol air mineral 500ml.


Ikan puyu hidup disiang malam tadi dan diperap
dengan bumbu/rempah semalaman.


Ayam kampung yang disembelih dan diproses
secara manual sendiri.

Jemput makan. Menjamu selera di kebun dibuai oleh tiupan angin yang nyaman.
Salam bertani.

Isnin, 25 Julai 2016

Tanaman Pisang 10 : Pisang Nangka.

Salam bertani.

Salah satu jenis pisang yang biasa ditanam ialah pokok pisang nangka. Apa kaitan pokok pisang ini dengan pokok nangka masih tak dapat dijelaskan. Buah pisang nangka agak berbeza dengan pisang lain kerana warnanya masih hijau apabila matang. Apabila kulitnya menjadi kekuningan, ia sudah tidak sesuai untuk digoreng kerana isinya sudan menjadi lembik.

         Buah matang pisang nangka biasanya dijadikan pisang goreng seperti pisang nipah. Rasanya agak manis tetapi ada sedikit rasa masam seperti pisang tanduk. Pisang nangka juga boleh dibuat pengat, kerepek pisang, disira, direbus dan yang terlalu matang boleh dilenyek untuk dijadikan cekodok, lempeng atau kek pisang. Buah pisang nangka yang matang mengeluarkan aroma yang harum.

      Bahan penanaman pokok pisang nangka sama seperti pisang lain iaitu menggunakan sulur anak yang dihasilkan oleh pisang dewasa. Seelok-eloknya mulakan mengubah sulur anak pisang nangka semasa awal musim hujan. Pokok pisang nangka dewasa biasanya mengeluarkan sulur yang banyak. Setiap perdu hanya perlu tinggalkan satu atau dua sulur anak pisang sahaja supaya dapat hidup dengan sihat dan mengurangkan persaingan. Pokok pisang yang terlalu banyak dalam satu perdu akan menghasilkan buah yang kurang berkualiti.


Anak pokok pisang nangka dari sulur pedang (besar)
dan sulur air (kecil). Sulur air tidak sesuai dijadikan bahan penanaman.


Bahan penanaman dari sulur pedang paling sesuai.


Anak benih pokok pisang nangka yang
ditanam menggunakan sulur pedang.


Anak pokok pisang nangka sedang membesar.
Boleh gunakan baja NPK 15:15:15 dan baja organik untuk
menggalakkan tumbesaran.


Buah pisang nangka muda.


Pokok pisang nangka dewasa yang telah mengeluarkan hasil.
Pokok perlu disangga untuk mengelakkan patah tengah atau tumbang.


Pokok pisang nangka dewasa akan mengeluarkan buah dan sulur serentak.
Jangan ambil sulur sehingga kita menuai hasil untuk mengekakkan kerosakan pada
pokok induk dan mengelakan tumbang.


Buah pisang nangka 


Buah yang hampir matang dan sudah boleh dituai.


Buah pisang nangka disisir untuk diperam.


Buah pisang nangka yang sudah matang.
Warna kulitnya menjadi hijau cair dan buahnya lembut 
apabila dipicit. Harga jualan biasanya RM3.50 sekg.

Kita sungguh bertuah kerana mempunyai pelbgai jenis pisang yang boleh ditanam dan pelbagai kegunaannya. Selain menghasilkan buah, jantung pisang nangka juga boleh dimakan. Daun pisang juga berguna dan ada juga tempat yang memanfaatkan umbut pisang sebagai sayuran. Buah pisang juga mempunyai nilai perubatan dan kesihatan.

Salam bertani.

Sabtu, 23 Julai 2016

Durian Baraan.

Salam bertani.

Pada pagi ini sekumpulan sahabat WP datang baraan dan marhaban di rumah sempena sambutan hari raya. Inilah budaya masyarakat Jawa JDT menyambut raya untuk mengeratkan ukhuwah dan bermaaf-maafan. Jadual baraan tak cukup sebulan  Syawal hingga menjelang awal bulan Zulkaedah.


Ramai sahabat yang berkunjung.


Bermarhaban






Juadah utamanya 3 bakul durian




Menjamu selera







Juadah sampingan


Roti jala


kari kambing


Kari ayam


Ayam Mas drummer goreng


Bubur kacang hijau + durian


dan pencuci mulut.

Salam Syawal
Salam bertani.