Ahad, 28 Februari 2016

Pokok Lengkuas.

Salam bertani.

Terdapat beberapa rumpun pokok lengkuas yang ditanam di kebun "Warisan Petani". Lengkuas adalah tanaman herba yang tumbuh melalui rizom dan berumpun. Ia kecil sedikit daripada pokok kantan tetapi tidak mengeluarkan bunga melalui rizom. Bunganya akan keluar melalui pucuk pokok yang matang.

   Biasanya lengkuas digunakan sebagai bahan penambah perasa masakan seperti masakan rendang atau pun singgang, tetapi sebenarnya rizom lengkuas mempunyai pelbagai khasiat perubatan. Lengkuas adalah bahan utama dalam ramuan jamu dan dapat memberi manfaat dalam meredakan pelbagai jenis penyakit.

   Menanam lengkuas tidak susah sama ada di dalam pasu atau di kawasan kebun. Biasanya pokok lengkuas ditanam di belakang rumah supaya senang dituai apabila diperlukan. Lengkuas sesuai ditanam melalui keratan rizom walau pun ia juga mengeluarkan biji benih. Sekiranya dijaga dengan baik lengkuas juga cantik dijadikan tanaman hiasan di depan rumah.


Pokok lengkuas muda yang ditanam melalui
keratan rizom.


Pokok lengkuas tumbuh melalui rizom
yang terdapat di dalam tanah.


Serumpun pokok lengkuas dewasa yang
biasa dituai rizomnya.



Anak pokok lengkuas yang tumbuh melalui rizomnya.



Rumpunan pokok lengkuas yang subur.


Daun pokok lengkuas 


Bunga pokok lengkuas yang  menarik.


Bunganya keluar dari pucuk pokok yang matang.


Buah pokok lengkuas yang mengandungi biji benih.


Sepotong rizom lengkuas yang boleh digunakan sebagai
penambah perasa masakan.

Tanamlah pokok lengkuas kerana ia tidak perlu penjagaan yang rapi dan mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. 

Salam bertani.

Sabtu, 27 Februari 2016

Air Kelapa Muda.

Salam bertani,.

Hari ini cuaca cukup panas. Sudah seminggu tidak turun hujan. Banyak tanaman yang terpaksa disiram setiap hari untuk mengelakkan kekeringan. Waktu tengah hari tadi, sebelum pulang dari kebun "Warisan Petani", sempat mengait beberapa biji kelapa pandan muda untuk dijadikan minuman. Tentu enak menghirup air kelapa muda ais pada masa cuaca panas begini.



Membawa pulang empat biji buah kelapa
pandan muda.


Sebiji daripadanya.


Siap dipotong untuk mengeluarkan airnya.


Isi yang sedang elok untuk dihirup
dengan air kelapa.


Mengeluarkan isi kelapa muda dari tempurung.


Campurkan isi kelapa dengan air kelapa muda ke dalam balang.



Tambahkan sedikit gula, masukkan ais
dan siap diminum.


Sungguh enak dan segar.
Tak cukup segelas.


Tinggal tempurung dan sabut sahaja.

Air kelapa muda terutama kelapa hijau dikatakan mengandungi pelbagai khasiat kesihatan. Ia megandungi vitamin C yang tinggi dan dapat mengurangkan dihiderasi badan. Berfungsi menyejukkan badan dan dapat meredakan pelbagai jenis penyakit. Yang pentingnya air kelapa muda dapat membuang toksit dalam badan dan menjadi penawar kepada keracunan.

Salam beratani.

Tanaman Pisang 3 : Pokok Pisang Tanduk.

Salam bertani.

Pokok pisang tanduk merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebun "Warisan Petani". Pokok pisang tanduk ditanam untuk keperluan sendiri dan sebahagiannya dijual di pasar tani. Buah pisang tanduk merupakan buah pisang yang terbesar dan berbentuk melengkung seperti tanduk sebab itu dipanggil pisang tanduk. Ada sebahagian tempat memanggilnya pisang helang/lang walau pun sebenarnya pokok pisang tanduk dan pokok pisang helang ada perbezaannya.

       Pokok pisang tanduk biasanya ditanam melalui anak benih yang tumbuh di pangkal pokok pisang tanduk dewasa yang telah berbuah. Sekarang anak benih yang dibiakkan melalui kultur tisu lebih popular kerana bebas dari penyakit dan peratus pertumbuhan yang lebih tinggi apabila ditanam.

      Menanam pokok pisang tanduk tidak seperti pisang lain yang boleh dituai berulang kali dari generasi-generasi berikutnya. Anak pokok pisang tanduk perlu diubah ke tempat lain untuk mempastikan ia mengeluarkan hasil seperti yang diharapkan. Pokok pisang tanduk yang berbuah biasanya memerlukan sokongan untuk mengelakkannya tumbang atau 'patah tengkuk'.

      Pisang tanduk tidak mempunyai jantung dan biasanya hanya mempunyai satu atau dua sisir buah sahaja. Pokok pisang tanduk memerlukan masa lebih kurang lapan bulan untuk berbunga dan buahnya perlu tiga bulan untuk matang. Buah pisang tanduk jarang dimakan sebagai pencuci mulut. Ia sesuai disajikan sebagai pisang goreng dan dijadikan kerepek pisang. Buah pisang tanduk boleh juga direbus dan dimakan dengan kelapa parut.


Anak pisang tanduk yang disemai di dalam polybag
sebelum ditanam di kebun.


Anak pokok pisang tanduk yang terus diubah ke kebun.


Anak benih pokok pisang tanduk yang dihasilkan oleh 
pokok pisang tanduk dewasa. Perlu diubah ke tempat lain.


Anak pokok pisang tanduk berumur beberapa bulan.


Ditanam sebagai tanaman selingan sementara menunggu
anak pokok kelapa sawit membesar.



Buah pisang tanduk muda.
Hanya dua sisir sahaja.


 Buah pisang tanduk yang hampir matang.


Buah pisang tanduk matang yang telah dituai.
Sesuai dijadikan kerepek pisang.


Buah pisang tanduk perlu diperam untuk masak seperti ini.
Sesuai dijadikan pisang goreng.
Dijual di pasar tani dengan harga RM4.50 sekg.


Pisang tanduk goreng. Enak dimakan panas-panas bersama
sambal kicap.


Kerepek pisang tanduk.
 Paling enak berbanding kerepek pisang lain.

Menanam pisang tanduk tidaklah susah, hanya perlu penjagaan dan pembajaan supaya ia hidup subur.
Pastikan anak benih pisang tanduk bebas dari serangan ulat pengorek dan direndam dengan racun serangga dan racun kulat sebelum ditanam.  Musuh utama tanaman pisang tanduk ialah babi hutan yang sangat gemar memakan umbutnya. Monyet juga boleh merosakan tanaman pokok pisang tanduk dan buahnya.

Salam bertani.

Rabu, 24 Februari 2016

Ikan Air tawar

Salam bertani.

Menangkap ikan air tawar merupakan aktiviti sambilan yang biasanya dilakukan semasa menjaga ternakan lembu. Sekiranya air sungai surut kerana empangan tasik ditutup, aktiviti menjala ikan di sungai sesuai dilakukan. Terdapat banyak spesis ikan air tawar yang mendiami sungai tersebut yang boleh dijadikan lauk segar atau dijadikan ikan kering dan pekasam.

     Petang tadi sempat menjala ikan air tawar semasa air sungai surut. Menu makanan malam ini berlaukkan masakan ikan air tawar.


Hasil menjala petang ini.


Terdapat pelbagai spesis ikan air tawar


Ikan lampam jawa.


Ikan baung sungai. Enak dimasak asam.
Harganya sangat tinggi.



Ikan haruan. Mempunyai khasiat perubatan terutama 
untuk memulihkan luka luaran dan dalaman.



Ikan keli sungai.


Udang kara.


Ikan talapia sirip merah. Saiznya besar
melebihi sekg seekor.


Ikan terbul. 
Boleh dijadikan ikan pekasam.


Ikan sepat perak. Enak dikeringkan.


Udang kara. Tahan hidup di darat seperti ketam batu.

     
Ikan temperas. Dijadikan ikan kering
atau ikan pekasam.


Menu malam ini.
ikan baung masak sambal.

Ikan air tawar boleh menjadi pilihan menu harian semasa harga ikan laut melambung tinggi sekarang.
Lagi pun ikan air tawar boleh didapati secara percuma sekiranya kita mahir menangkap ikan sama ada dengan cara memancing, menjala, memasang bubu atau pun menyauk. Ada juga spesis ikan air tawar yang sesuai diternak seperti ikan keli, ikan talapia, ikan baung, ikan patin dan lain-lain.

salam bertani.

Selasa, 23 Februari 2016

Pokok Ubi badak.

Salam Bertani.

Pokok ubi badak ialah jenis pokok berbatang lembut yang hidup melilit pada junjungan atau pokok lain. Ia menghasilkan umbisi di dalam tanah yang boleh dimakan sama ada dijadikan sayuran, direbus, dibuat kuih ataupun kerepek.

   Terdapat dua jenis ubi badak yang dibezakan dari warna umbisinya iaitu ubi badak putih dan ubi badak unggu. Orang-orang di pantai timur kadang kala memanggilnya ubi besar tetapi orang-orang Jawa di sini memanggilnya pokok buah uwi. Ia merupakan pokok ubi tahunan dan boleh dituai hasilnya apabila pokoknya kering dan mati.

    Buah ubi badak tahan lama disimpan sama ada dibiarkan di dalam tanah atau buah yang telah dituai disimpan di tempat yang kering. Anak benih pokok ubi badak  boleh didapati daripada buahnya yang terdapat di atas pokok berbentuk seperti ubi kentang. Buah ini biasanya tidak dimakan dan hanya disemai untuk mendapatkan anak benih sahaja.

    Terdapat banyak pokok ubi badak unggu yang ditanam di kebun "Warisan Petani" untuk kegunaan sendiri dan dijual di pasar tani. Harga sekilogram ubi badak unggu lebih kurang RM5.00 dan sepokok ubi badak boleh mengeluarkan hasil sehingga lima kilogram. Pendatang Vietnam amat gemar membeli buah ubi badak ini.


Sepohon ubi badak ungu dewasa yang memanjat junjungan.
Perhatikan buah-buah kecil yang tergantung di junjungan.


Buah ubi badak yang tergantung di hujung dahan.
Saiznya sebesar ubi kentang.


Buah ubi badak  ini hanya sesuai disemai untuk mendapatkan anak benih.
Biasanya tidak dimakan dan akan gugur apabila pokoknya kering/mati.


Bentuk buah yang misteri dan boleh ditafsirkan.


Anak benih ubi badak yang tumbuh dari buah udara yang disemai.


Anak benih pokok ubi badak yang sedang membesar.
Perlukan junjungan untuk ia melilit.


Sehelai daun ubi badak unggu.


Buah dari sepohon ubi badak unggu yang dituai.
Buah ini perlu digali di dalam tanah.


Buah dari sepohon ubi badak yang lain.
Isinya berwarna unggu.. 


Pengat ubi badak.

Buah ubi badak yang dituai dari dalam tanah boleh direbus atau dikukus seperti ubi keladi. Isinya lembut, empuk dan agak manis serta mengandungi banyak kanji. Ia sangat sesuai dibuat pengat dan dicampur bahan lain seperti tepung sagu, labu manis, ubi kayu, ubi keladi, pisang nipah dan isi nangka. Ia juga boleh dijadikan kuih koleh, kuih bingka dan dimasak lemak. Buah ubi badak juga boleh dijadikan kerepek.

Sangat mudah menanam pokok ubi badak semudah sistem 3T (tanam, tinggal dan tuai). Tidak perlu pembajaan yang kerap, tidak perlu penyiraman dan tiada musuh perosak (kecuali babi hutan). Marilah menanam pokok ubi badak sebagai pokok hiasan dan boleh mendapatkan hasil apabila tiba masanya.

Salam bertani.